Tamadun Mesopotamia
Orang Sumeria dikatakan orang terawal menggunakan taktik dalam peperangan. Hal ini berlaku kerana mereka sering diserang oleh orang nomad. Justeru itu peperangan di Mesopotamia bertujuan menyelamatkan negara kota daripada serangan orang-orang nomad. Peperangan antara negara kota wujud kerana tidak ada sempadan yang jelas antara negara kota tersebut. Peperangan juga wujud kerana berebutkan bekalan air dari sungai yang menjadi punca kemakmuran sesuatu kawasan pertanian. Pemerintah negara kota membina tembok pertahanan di sekeliling kota untuk mencegah pencerobohan kuasa luar. Adakalanya negara-negara kota di Mesopotamia bersatu untuk memerangi puak nomad yang sentiasa menyerbu delta-delta yang subur yang menjadi ancaman besar kepada peradaban Mesopotamia. Semasa Hammurabi memerintah, ketahanan dan pertahanan Mesopotamia menjadi lebih kukuh kerana didirikan kubu pada setiap kota. Kubu-kubu ini dikawal oleh angkatan tentera.
Negara Kota Tamadun Mesopotamia
Tamadun Mesir
Peperangan bagi orang Mesir adalah untuk mempertahankan delta di Sungai Nil daripada serangan orang Gasar dari Libya dan Palestin. Firaun bertindak sebagai ketua tentera. Peperangan yang berlarutan juga telah memantapkan organisasi ketenteraan dari segi strategi, teknologi dan logistik. Di Mesir, orang awam turut dikerah menjadi tentera untuk mempertahankan kedaulatan negara. Di istana, Firaun melantik pegawai diraja dan komanden profesional khusus untuk menjaga keselamatan pihak istana. Anggota masyarakat berbangga sekiranya mereka menjadi tentera kerana profesion tersebut sangat dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat. Dasar perluasan kuasa yang dilaksanakan dan perkembangan pesat empayar menyebabkan kerajaan Mesir menubuhkan satu angkatan tentera yang besar untuk melicinkan dasar perluasan wilayah. Golongan profesional dan artisan turut menyertai tentera. Sebagai menghargai jasa golongan tentera, Firaun menganugerahkan tanah untuk mereka.
Sungai Nil
Tamadun Indus
Orang India percaya bahawa seseorang raja mampu menjadi penaung dalam hal-hal yang berkaitan ketenteraan dan kebajikan kepada rakyat. Hanya raja yang kuat diperlukan bukan sahaja untuk memelihara undang-undang tetapi juga untuk memelihara peraturan kosmos bumi. Dalam epik Mahabharata, ada disebutkan bahawa seseorang lelaki perlu memilih raja terlebih dahulu barulah memilih isteri dan kekayaan. Tanpa raja, kekayaan dan isteri tidak membawa sebarang makna. Hal ini kerana sering berlaku keadaan anarki dan keamanan sering tergugat. Orang-orang Arya menganggap perang sebagai sukan diraja dan bukan cara kejam untuk menyelesaikan konflik. Dalam tradisi India, golongan berkasta kshatriya diberi tugas untuk mempertahankan raja dan negara. Golongan ini dilatih sejak kecil untuk menjadi golongan pahlawan. Masyarakat India juga mementingkan pertahanan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan serangan pihak musuh. Sebab itulah kota-kota seperti Mohenjo-Daro dan Harappa dilengkapi dengan kubu pertahanan yang kukuh.
Mahabharata
Tamadun China
Raja-raja China sering berperang antara satu sama lain kerana beranggapan bahawa peperangan adalah suatu perkara yang menguntungkan mereka dan kerajaannya. Kemenangan dalam peperangan akan menjadikan seseorang pemerintah itu berkuasa, menambahkan wilayah dan kaya-raya. Mereka juga boleh menambahkan bilangan tentera dan tawanan perang. Peperangan pada zaman Dinasti Shang bertujuan menguatkuasakan pemerintahan maharaja dan merampas harta golongan berada. Kerajaan Chou memiliki bilangan tentera yang ramai sehingga menjangkau beratus ribu orang pada abad ke-3 Mashi. Apabila sudah menyertai tentera, agak sukar untuk mereka kembali kepada kehidupan biasa. Pada zaman kerajaan Tang, tentera mereka berjaya meluaskan wilayah ke sempadan sebelah utara disebabkan kebijaksanaan jeneral dan peranan komando yang ditugaskan untuk memberi laporan di wilayah masing-masing. Semasa pemerintahan Shih Huang Ti, baginda mengarahkan tenteranya supaya merampas alat-alat senjata di setiap rumah supaya tidak berlaku penentangan terhadap pemerintahan baginda. Selain itu, buku-buku Confucius turut dibakar kerana bimbang rakyat akan bangun menentang pemerintahan berpusat yang diamalkannya.
Video Sejarah Tamadun China (Part 1)
Video Sejarah Tamadun China (Part 2)
Pada zaman Yunani, peperangan adalah bersifat tempatan dan berskala kecil untuk menyelesaikan beberapa perbalahan yang melibatkan soal politik dan sempadan. Objektif peperangan pada masa ini ialah untuk memusnahkan asas ekonomi sesebuah negara kota. Biasanya peperangan berlaku secara terbuka sehingga satu pihak berundur. Peperangan di kalangan orang Yunani dianggap unik kerana pihak yang menang akan menghadiri upacara pengkebumian pihak yang kalah serta membayar pampasan jika perlu. Apabila Yunani disatukan oleh Philip II dari Makedonia dan anaknya Iskandar Zulkarnain, objektif peperangan telah bertukar menjadi skala besar apabila mereka melaksanakan dasar perluasan empayar. Empayar Iskandar Zulkarnain merentas Asia Kecil, Mesir, Lembah Sungai Indus dan seluruh Parsi. Sparta adalah negara kota yang mengambil berat tentang pertahanan sehinggakan seseorang kanak-kanak dalam usia muda telah dipisahkan daripada keluarga untuk dibesarkan menjadi anggota tentera yang bertanggungjawab memelihara keselamatan negara kota.
Pada zaman Rom, peperangan dilakukan untuk meluaskan empayar. Pada masa itu, empayar Rom merangkumi tiga benua iaitu Asia, Eropah dan Afrika. Orang yang bertanggungjawab meluaskan empayar Rom ialah Julius Caesar. Beliau terkenal dengan kata-kata Veni, Vedi, Vinci yang bermaksud "Saya datang, saya lihat dan saya takluk".
Pada zaman gelap, raja-raja cuba mengukuhkan sistem feudal. Peperangan yang berlaku hanyalah untuk menguasai wilayah-wilayah lain yang terletak di bawah kekuasaan bangsawan. Peperangan tercetus pada zaman pertengahan antara pihak Kristian dan Islam kerana mempertahankan tanah suci Jurusalem. Peperangan ini dikenali sebagai Perang Salib yang berlarutan selama 300 tahun.
Perang Salib
Pada zaman moden, iaitu selepas zaman Renaissance dan Reformation, menyaksikan semangat kebangsaan kerana ingin membentuk negara bangsa. Muncul beberapa pemimpin yang cuba menyatukan wilayah-wilayah kecil ke dalam satu negara bangsa yang luas. Itali dapat disatukan oleh Camillio de Cavour pada tahun 1861 dan Jerman telah disatukan oleh Otto von Bismarck pada tahun 1871.
Pada zaman pra-Islam, peperangan dalam tradisi Arab adalah perkara biasa dan dianggap profesion yang mulia. Kejayaan sesuatu kumpulan atau kabilah dalam sesuatu peperangan dianggap sebagai satu kebanggaan. Pihak yang kalah akan dihina dan imej mereka akan terjejas dan tidak dihormati. Faktor assabiah atau semangat kesukuan yang tinggi merupakan sebab utama berlakunya peperangan. Adakalanya peperangan boleh berlaku kerana merebut kawasan oasis. Perkara remeh-temeh juga boleh membawa peperangan seperti Perang Basus yang berterusan selama 40 tahun disebabkan seekor unta. Pada zaman Islam, umat Islam berperang kerana mahu mempertahankan diri setelah diancam atau diserang pihak musuh. Islam bukan disebarkan melalui mata pedang seperti yang didakwa oleh pihak orientalis. Sikap umat Islam yang bertahan selama 13 tahun di Makkah membuktikan bahawa Islam disebarkan melalui dakwah dan bukannya melalui peperangan.
Perang Basus
Muhammad Yusoff Hashim membahagikan peperangan yang melibatkan negeri-negeri Melayu kepada empat laitu peperangan antarabangsa, peperangan antara negeri, peperangan di dalam negeri dan pemberontakan dalam negeri. Peperangan antarabangsa merujuk kepada peperangan antara negeri-negeri Melayu dengan kuasa-kuasa asing seperti Melaka dengan Siam pada abad ke-15. Peperangan antara negeri seperti yang berlaku antara Aru dan Pasai, manakala peperangan dalam negeri biasanya berbentuk perang saudara seperti perebutan takhta di Kedah dan Perak pada abad ke-18. Pemberontakan terhadap penjajah merupakan jenis keempat. Pada umumnya, peperangan dalam masyarakat di Nusantara adalah untuk meluaskan wilayah dan menambahkan hamba perang. Justeru itu, amalan melakukan pembunuhan secara beramai-ramai cuba dielakkan. Golongan yang lemah dan kalah dalam peperangan akan melarikan diri supaya tidak dijadikan hamba atau pengikut kepada pihak yang menang. Malah ibu kota turut dipindahkan ke tempat-tempat lain. Kerajaan Johor misalnya terpaksa memindahkan ibu kotanya ekoran serangan daripada pihak Portugis dan Acheh. Antara kota-kota yang pernah menjadi ibu negeri Johor ialah Sayong Pinang, Kota Tinggi, Batu Sawar, Johor Lama dan Riau. Masyarakat di Nusantara dikatakan mengamalkan unsur-unsur kebatinan. Sudah menjadi kebiasaan, kejayaan seseorang raja dan hulubalang sering dikaitkan dengan persiapan sebelum peperangan seperti unsur-unsur jampi, mantera dan meditasi. Di Makasar misalnya terdapat amalan memakai alat-alat tertentu sebagai tangkal azimat supaya mereka menjadi kebal. Peperangan sering ditonjolkan dalam hikayat-hikayat lama seperti dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Nama-nama seperti Majapahit, Srivijaya dan Melaka adalah antara empayar Melayu yang terkenal meluaskan empayar melalui peperangan.
Woww...baru tahu ada banyak tamadun dalam dunia
ReplyDelete